7. SAJAK KETUHANAN

Agama Adalah Seluruh Kehidupan

Agama adalah seluruh kehidupan
Ada yang lahir ada yang batin
Iman, Islam dan ihsan adalah patinya atau ajaran terpokok
Pecahan dari tiga aspek tadi yang merupakan satu pakej jadilah agama itu
luasnya seluruh kehidupan
adakalanya disebut hablumminallah wahablumminannas
Hablumminallah adalah asas dan tapak agama dari Tuhan
Hablumminannas adalah cabangnya atau buah daripada hablumminallah
Ertinya agama itu ia berlaku dan mesti berlaku di mana-mana
Di dalam masjid sudah tentu semua orang tahu
Ia berlaku di pejabat, di pasar, di tengah masyarakat, di dalam perjuangan, di dalam kebudayaan dan perhubungan
Di rumahtangga, di dalam perhubungan, di dalam negara atau antarabangsa
Berlaku di dalam jiran tetangga, di dalam pendidikan formal atau tidak formal
Berkasih sayag, rasa bersama bekerjasama, bersatu-padu adalah agama
Di dalam perhimpunan, di dalam perayaan, di dalam mesyuarat,
di dalam bersukan mesti ada agama
Bertimbang rasa, peri kemanusiaan, bertolak ansur, berlapang dada agama juga
Di waktu memandu di jalanraya, membersihkan bandar, ketika bertugas menjadi nelayan, bekerja di kilang semuanya agama
Mentadbir negara, menjaga negara, menjaga keselamatan dan keamanan juga agama
Berkawan, berkenalan, berbual, makan, rehat-rehat, tidur dan baring adalah agama
Begitulah luasnya agama, tidak seperti yang difaham selama ini oleh kita
Tanggapan ramai orang Islam agama itu hanya semata-mata ibadah rukun Islam serta sunat-sunatnya
Kalau agama itu berlaku di mana-mana, selagi berlaku syariat Tuhan sebagai disiplinnya itu ibadah umumlah namanya
Ertinya agama atau ibadah itu berlaku di udara, di darat, di laut, di hutan, di bukit, di gunung, di padang pasir, selagi ada manusia
Kalau agama berlaku di mana-mana ertinya ibadah umum berlaku di mana-mana sahaja selagi ada manusia
Sekiranya agama berlaku di mana-mana sahaja selamatlah manusia
Kerana maknanya agama itu tidak kacau mengikut bahasa Sanskrit
Ertinya orang beragama tidak huru-hara di dalam kehidupan, ertinya aman damai, harmoni, bahagia
Tapi makna agama itu telah dipersempit, maka manusia hidup huru-hara di mana-mana bahkan berlaku di masjid
Kerana itulah umat Islam hina di mana-mana kerana agama yang diamalkan selama ini adalah sempit.


Aku Hairan Engkau Tidak Takut Tuhan

Aku hairan engkau tidak takut kepada satu Zat yang kuasa-Nya mutlak
Kuasanya Maha Luar Biasa yang tiada tandingannya
Kalau Dia ingin mengadakan atau mentiadakan
Dia akan berkata: Jadilah, maka terus jadi
Itulah Dia Tuhan yang mencipta segala-galanya
kehendak-Nya lulus, penglihatan-Nya tembus
Pengetahuan-Nya meliputi apa yang ada dan yang tiada
Pendengaran-Nya lulus dan peka
Apa sahaja yang bersuara mahupun yang tiada suara semua didengar-Nya
Dia sentiasa bersama kita terlalu dekatnya, tapi bukan dekatnya mengikut ukuran kita
Yang boleh kita kata begian-begian jarak dekat dan jauhnya
Dekatnya adalah cara mengikut ukuran Tuhan yang Maha Suci
Yang tidak dapat digambarkan mengikut cara kita
Cara-Nya kita tidak dapat mengukurnya kerana Dia Maha Suci daripada penyerupaan
Tapi Tuhan dapat mengukurnya dan dapat mengukur cara makhluk-Nya
Tuhan itulah yang engkau tidak mempedulikan
Sungguh engkau manusia luar biasa
Luar biasa yang tidak sepatutnya
Bila berhadapan dengan Zat yang Maha Luar Biasa
Luar biasa yang keterlaluan yang tidak sayugianya ada pada manusia
Apa sudah jadi kepada engkau
Di mana salah silapnya
Kuasa Allah yang begitu terserlah yang mengecutkan perut bagi orang yang mengenalnya
Tapi engkau tidak dapat menangkapnya dan tidak dapat merasanya
Betullah otak engkau sudah gersang
Dan hati engkau telah buta

Aku Mengadu Pada-Mu Akan Dosaku

Aku mengadu kepada-Mu ya Allah ya Tuhanku
dosa-dosaku menggunung besarnya
Kesalahan-kesalahanku sepenuh pasir Sahara banyaknya
Aku menyesal wahai Tuhan, keterlanjuran itu
Aku sedih dan derita dengan dosa-dosaku
Aku pohon dengan rahmat-Mu ampunkanlah aku
Tuhan janganlah biarkan aku tidak berampun
Dengan rahmat-Mu apalah salahnya ampunkanlah aku
Kalau Engkau ampunkan aku, kebesaran Engkau tidak terjejas
Jika Engkau tidak ampunkan aku, aku kan hamba-Mu
Kasihanilah hamba-Mu ini yang telah menyesal
Aku berjanji tidak akan aku ulangi lagi
Tuhan dengarlah rintihanku ini
Tuhan terimalah penyesalan aku ini
Tuhan kabulkanlah permintaanku
janganlah Engkau kecewakan permohonanku ini
Aku tidak jemu-jemu mengulangi permohonanku
Aku tidak akan putus asa di dalam soal ini
Aku yakin dengan rahmat-Mu yang luas itu
Dosa-dosaku Engkau akan ampunkan juga akhirnya

Alangkah Hebatnya Tuhan

Alangkah hebatnya Tuhan
Di dalam satu kerdipan mata berbilion-bilion yang dicipta-Nya dengan serentak
Di masa yang sama pula berbilion-bilion yang dibinasakan atau yang ditiadakan-Nya
Di dalam satu kerdipan mata, berbilion-bilion secara serentak diketahui yang ada mahupun yang tiada
Juga di masa yang sama dengan serentak berbilion-bilion perkara yang dilihat dan didengar-Nya
Kudrat-Nya Esa sepertimana sifat-sifat yang lain juga Esa
Kuasa membuat yang sedikit atau banyak, kecil atau besar sama sahaja
Tidak ada beza kerana Tuhan itu Kudrat-Nya bukan tenaga
Tapi Zat-Nya yang Maha Kuasa atau bersifat Kuasa
Kerana itulah Tuhan tidak terasa penat atau letih
Begitu juga Tuhan kehendak-Nya bukan dengan nafsu
Kerana itulah kehendak-Nya tidak menerima jemu juga tidak terasa ghairah seperti manusia
Dia berbuat atau tidak berbuat dengan kehendak-Nya yang penuh berhikmah
Tidak ada yang sia-sia atau yang tidak mempunyai hikmah yang tersirat atau tersurat
Apa yang terdahulu dan apa yang kemudian semua diketahui-Nya
Tidak pernah dilupakan-Nya sekalipun sebesar debu di udara
Murka-Nya bukan dengan nafsu
Kerana Tuhan itu tidak ada nafsu seperti makhluk-Nya
Suka-Nya atau cinta akan sesuatu bukan pula dengan perasaan-Nya
Kerana Tuhan itu tidak ada jiwa
Cinta-Nya pula mengikut kehendak dan hikmahnya
Bukan didorong oleh keadaan
Kerana keadaan dan situasi Tuhan yang mencipta-Nya
Segala apa yang hendak dibuat atau tidak bukan hasil fikiran atau hasil menimbang-nimbang
Kerana Tuhan bukan ada akal seperti manusia
Kerana Kudrat dan Iradat-Nya berlaku adalah kerana kepatutan-Nya
Dengan penuh hikmah dan pengajaran
Begitulah Zat Tuhan yang Maha Agung
Sungguh hebat dan menggerunkan


Alangkah Hina Dan Lemahnya Hamba-Mu

Tuhan! Alangkah hina dan lemahnya hamba-Mu ini
Langsung tidak ada kuasa dan kudrat
Kuasa dan kudrat sepenuhnya adalah milik-Mu
Jika di waktu aku duduk
Aku boleh Engkau menjatuhkan
Aku boleh Engkau matikan
Dan aku boleh Engkau lalaikan
Di waktu rehat-rehat
Engkau boleh jadikan aku pening kepala dengan tiba-tiba
Aku boleh jatuh
Aku boleh tidak sedarkan diri bahkan boleh mati
Di waktu sedang aku makan
Engkau boleh tercekikkan aku
Boleh aku tercekik tulang
Boleh bila-bila masa sahaja di waktu itu aku tumbang
Di waktu bercakap-cakap, Engkau boleh buat apa sahaja denganku
Engkau boleh lupakan aku tentang sesuatu yang hendak dicakapkan
Boleh di waktu itu aku terbatuk-batuk
Boleh rebah di waktu itu
Di dalam masa tidur
Engkau boleh tidurkan aku terus tidur
Iaitu daripada mulanya aku tidur kecil terjadi tidur besar
Atau bangkit-bangkit tidur terus sahaja mati
Itu terpulanglah kepada Engkau
Engkau boleh buat apa saja kepadaku
Di mana aku berada, di waktu bila, di dalam keadaan apa
Macam-macam Engkau boleh jadikan aku
Manalah ada kuasa padaku
Sedikit pun tiada kudratku
Kerana itulah nasibku seluruhnya aku serahkan kepada-Mu
Kesihatanku, makan minumku, keselamatan aku, aku serahkan kepada-Mu
Kerehatanku, kesenanganku dan kebahagiaanku
Aku yakin Engkau tidak menzalimi hamba-hamba-Mu
Kalau begitu, seluruh hidup matiku
Aku serahkan kepada-Mu
Kerana aku langsung tidak ada kuasa apa-apa
Terserahlah kepada-Mu Tuhan
Tapi aku baik sangka dengan-Mu


Allah Sumber Bahagia

Allah Taala adalah sumber bahagia
Ini bukan semua orang yang boleh merasa
Ini hanya dapat dirasa oleh jiwa yang bertaqwa
Berdoa sahaja sudah rasa sedap
Sekalipun belum tentu dikabulkan doa
bercakap-cakap dan berbisik-bisik dengan Tuhan
Sudah terasa lazatnya
Bermunajat dengan-Nya terasa indahnya
Allah Taala terasa dekat
Tapi tidak berantara dan bercara
Ia terasa ada di mana-mana
Tapi tidak ada di sana
Kita terasa sangat Ia bersama kita
Semuanya tidak bercara
Tuhan dirasakan sangat diperlukan
Masya-Allah indahnya bertuhan
Rahmat-Nya dan kurniaan-Nya seperti dirasakan
Sama ada yang nyata mahupun yang tidak nyata
Setiap detik dia mengurniakan
Allah! Allah! Allah!
Besarnya erti hidup bersama Tuhan
Tuhan adalah hidup mati kita
Tuhan adalah segala-galanya
Jangan lupakan Tuhan!

Allah Tidak Serupa Dengan Makhluk

Maha Suci Allah Taala ertinya tanpa penyerupaan
Maha Suci Tuhan ertinya tanpa persamaan
Maha Suci Tuhan ertinya tidak dapat dibayangkan
Maha Suci Tuhan ertinya tidak dapat difikirkan
Di atas sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya dengan segala makhluk-makhluk-Nya
Maha Agung Tuhan ertinya seluruh kekuasaan-Nya, kemuliaan-Nya
Kehormatan-Nya, kehebatan-Nya
Kebesaran-Nya, kecantikan-Nya; tidak ada tandingan
Maha Besar Tuhan ertinya tidak ada yang dapat mengatasi Tuhan di dalam semua sifat dan perbuatan-Nya
Maha Kuasa Tuhan ertinya menguasai segala kekuasaan
Bahkan seluruh kekuasaan itu pun Dia yang memberi
Maha Berkehendak Tuhan ertinya segala kejadian yang berlaku dengan kehendak-Nya
Kehendak-Nya lulus, tiada siapa yang boleh menyekat
Kehendak-Nya tidak ada batas
Sebarang kehendak-Nya terjadi, tidak ada yang terbatal
Maha Tinggi Tuhan ertinya di atas-Nya tidak ada tandingan
Bahkan tidak boleh dibayang
Kalau dibayang adalah satu pembohongan
Tidak ada pembohongan yang paling besar selain memperkatakan Zat Tuhan yang bukan-bukan
Walaupun di antara Tuhan dan makhluk-Nya ada yang sama sebutannya
Namun di segi hakikatnya jauh berlainan
Hakikat tidak boleh dibayangkan
Bagaimana hendak dibayangkan kerana tidak ada penyerupaan

Aneh Kerja Tuhan

Pelik kita dengan kerja Tuhan
Kita pun tidak tahu apa hikmah sebenarnya
Tapi kita yakin setiap kerja Tuhan itu mesti berhikmah dan ada pengajaran
Cuma kita tidak dapat menyingkap rahsia-Nya
Mari kita lihat sedikit kerja Tuhan
Memang pelik dan unik
Apabila Allah Taala murka kepada seseorang, didorongnya orang itu berlaku zalim pada seseorang
Agar dia derhaka dan berdosa
Bila Tuhan cinta kepada seseorang, dia dizalimi oleh seseorang
Maka dia pula mendapat pahala menghapuskan dosanya
Begitu juga seseorang yang diberi rezeki secara istidraj
Ertinya mendapat rezeki secara murka
Kemudian dialirkan sebahagian rezeki kepada seseorang yang bertaqwa dengan tidak ikhlas
Yang diberi rezeki mendapat pahala kerana dia bersyukur
Aneh yang memberi tidak dapat pahala, yang kena beri dapat pahala
Begitulah seterusnya sebagai satu contoh lagi
Apabila Tuhan murka kepada seseorang, didorongnya orang itu memaki seseorang
Kemudian jika Tuhan cinta kepada seseorang, dibiarkan dia dimaki oleh orang
Mengapa orang yang Allah murka dibenarkan menyusahkan orang?!
Tapi orang yang dicintainya disusahkan oleh orang
Aneh kerja Tuhan
Kalau kita tidak faham mungkin kita menyalahkan Tuhan
Maha Besarnya Tuhan daripada melakukan kesalahan